Rabu, 18 Desember 2013

Syekh Nazim | Perjuangan Melawan Faham Islam Radikal

Kumpulan Cerita Islam (KCI) : Syekh Nazim |  Perjuangan Melawan Faham Islam Radikal
WALAUPUN mengalami kesukaran bercakap, Sheikh Nazim (91 thn)masih gigih menyampaikan dakwah.

ORANG ramai dari pelusuk dunia sentiasa mengunjungi kediaman Nazim.
DI Cyprus terdapat seorang ahli sufi yang hidup secara sederhana. Beliau mengajak pengikutnya berpegang kepada konsep asas sufisme atau tasauf yang bermaksud kasih sayang. Beliau juga nekad meneruskan perjuangan melawan fahaman Islam radikal.

Sufisme yang menerapkan aspek rohani terutama pengukuhan kepercayaan dan hubungan antara manusia dan Tuhan melalui muraqabah berpegang kepada aliran Naqshbandi yang menjadikan konsep kesederhanaan dan patuh terhadap syariah Islam sebagai garis panduan dalam pengamalannya. Muraqabah ialah amalan menjaga ingatan dan hati semata-mata kepada Allah.

Sheikh Nazim, 91, mengetuai sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Naqshbandi-Haqqani bersifat lebih fleksibel dalam ajarannya sehingga diungkapkan oleh sejarawan Perancis dan pakar sufisme, Thierry Zarcone sebagai antara ahli sufi yang terhebat.

"Islam yang diajar oleh Nazim adalah sangat fleksibel dengan wawasan yang boleh diterima. Pada masa yang sama, Nazim cuba mengurangkan fahaman Islam radikal di Amerika Syarikat dan Eropah dengan menunjukkan sufisme adalah instrumen dalam melawan fahaman radikal itu," katanya.

Keterbukaan Nazim dalam menerima sesiapa sahaja yang berminat mendalami sufisme disambut dengan pelbagai ucapan indah antaranya 'Selamat datang di kediaman yang penuh dengan cinta'.

Di dalamnya terdapat sebuah beranda melengkung dengan pemandangan pokok-pokok dan buah-buahan yang rendang di halaman.

Kehadiran tetamu di kediaman Nazim tidak pernah terhenti yang terdiri daripada pelbagai status warganegara, masyarakat tempatan dan penduduk kampung dengan satu hajat iaitu memohon doa dan pertolongan daripada ahli sufi termasyhur itu.

Antara tetamu yang hadir ialah dari Jerman, Itali, Switzerland, Amerika Syarikat, Rusia dan Turki. Mereka akan berkumpul di sebuah masjid kecil untuk solat berjemaah diikuti khutbah yang disampaikan Nazim berkisar tentang cinta dan kasih sayang sejati terhadap Allah.

Beliau yang mempunyai sepasang mata biru akan berada di tengah-tengah jemaahnya dan menyampaikan khutbah walaupun mengalami kesukaran bercakap. Nazim jarang sekali ditemu bual tetapi pengikutnya gemar memuat naik khutbah beliau di internet untuk dikongsi bersama masyarakat lain di seluruh dunia.

Mencuri tumpuan


Tiga tahun lalu, ketika bekas Pope, Benedic XVI dalam satu siri lawatan ke Cyprus, Nazim mencuri tumpuan masyarakat dunia apabila beliau mengembara dari Lefke ke Gereja Roman Katolik Cyprus yang jaraknya ialah 62 kilometer, menembusi kawasan patrol Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memisahkan Nicosia dalam usaha untuk bertemu dengan Benedict XVI.

Sebelum Benedict XVI melangkah kakinya ke gereja, Nazim menahannya dan kedua-duanya berpelukan sambil bertegur sapa dalam momen yang amat memilukan dan syahdu.

Kedua-dua figura itu sempat menghabiskan masa seketika berbual sesama mereka dan Nazim dalam nada sopan berkata: "Tuhan merahmati kamu, doakan saya, saya sudah semakin uzur."

Benedict XVI yang tersentuh dengan sapaan Nazim membalas sambil matanya berkaca: "Saya juga semakin tua." Mereka kemudian berpelukan.

Ia menimbulkan pelbagai tanggapan dalam kalangan masyarakat dunia kerana janggal bagi seorang yang dihormati dan dipandang tinggi dalam Islam memeluk seorang paderi.

Bagaimanapun, tindakan Nazim itu jelas seperti yang tercatat dalam bukunya bertajuk Love yang menegaskan dalam setiap agama kasih sayang adalah kekuatan asas kerana ia akan melahirkan perasaan hormat.

Seorang pengikut Nazim, Jehan Raqab yang berketurunan Itali dan Arab meletakkan jawatannya sebagai pegawai di PBB untuk bersama komuniti Nazim dalam meneruskan perjuangannya.

"Saya datang ke sini sekali sahaja dan sudah mula terasa seperti berada di syurga. Bila saya melihat Sheikh Nazim, beliau menyentuh hati saya bukan dengan kata-kata tetapi renungan matanya," kata Jehan.

Jehan yang pernah dibuang keluarga ketika berkhidmat bersama PBB mengakui masalah itu tidak lagi menghantui dirinya selepas hampir tiga tahun bersama Nazim di Lefke.

Dia yang masih bujang mengakui kehidupannya lebih tenang selepas meninggalkan kehidupan yang mengejar duniawi semata-mata kepada sebuah kehidupan yang sederhana seperti mendirikan solat lima waktu sehari semalam dan muraqabah berzikir.

Sementara itu, Bahauddine yang juga anak kepada Nazim berkata, seseorang manusia akan berada pada landasan yang betul dalam kehidupan sekiranya mencintai sesama manusia, masyarakat dan alam sekitar.

Katanya, penempatan di Lefke menerima saudara baru dan golongan penganut agama Islam dalam usaha mengukuhkan keimanan mereka terhadap Allah.

Sufisme

"Kebanyakan komuniti kami sangat aktif di Eropah terutamanya di London, selain Istanbul di Turki, Los Angeles dan Michigan, Amerika Syarikat," katanya.

Menantu Nazim, Sheikh Hisham Kabbani sangat aktif menyebarkan sufisme di Amerika Syarikat sejak tahun 1990. Malah, selepas serangan bom oleh pengganas di London pada tahun 2005, beliau menerajui pembentukan Majlis Sufi untuk menangani pemikiran radikal mengenai Islam.

"Menjadi tanggungjawab kita menerangkan setiap perincian mengenai Islam kepada orang luar terutamanya fahaman yang dikaitkan dengan keganasan.

"Jika kamu meneliti semula sejarah Islam, apakah pegangan asal dalam agama ini? Kamu dilarang membunuh wanita, kanak-kanak, warga emas atau membakar kediaman mereka. Tiada alasan untuk membunuh sewenang-wenangnya.
"Ini agama kami, ia sebuah agama yang sangat indah. Tetapi ia jatuh ke tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Saya minta maaf atas kata-kata saya ini," katanya. - AFP

Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?=2013&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#.UrJyQgMWL5g.facebook#ixzz2ntd3VXdx 

0 komentar:

Posting Komentar

Copyright @ 2013 ilmu tentang islam.